Zaman islam maju dulu, Syaitan datang 'ajar' agama, Berhala dan Dajjal pun ber'dakwah'...
Baik, sekarang saya bawakan Kajian Khas Hamka Keratamayat berkenaan Teori Kospirasi Dajjal dengan bersandarkan hadis-Hadis pilihan, sebuah penemuan yang mengejutkan tentang ummat islam akhir zaman-woha!
Al kisahnya, Pada suatu hari, ketika sahabat Nabi duduk berbicara kisah Nabi Muhammad SAW yang telah wafat kepada murid-muridnya yang terdiri daripada para Tabien, maka terbongkarlah akan sebuah kisah bagaimana pernah satu ketika, di zaman hayat Baginda Rasulullah SAW masih dikandung badan, telah muncul seekor serigala kurus di hadapan Nabi lantas mulai berbicara dalam bahasa arab.
Rupa-rupanya, kemunculan serigala itu adalah bertujuan untuk meminta izin dari Nabi agar dibenarkan makan kambing yang dipelihara oleh orang ramai, namun Nabi tidak benarkan mereka memakan kambing yang dimiliki oleh orang ramai, bermakna serigala jika nak makan, pergilah memburu hidupan liar dengan kudrat sendiri, jangan menyusahkan orang ramai terutama orang islam, lalu beredarlah serigala itu dengan kesedihan kerana sukar untuk memburu hidupan liar di pinggir Kota Madinah barangkali.
Tidak lama kemudian, muncullah seluruh keluarga serigala daripada datuk serigala sehinggalah ke cucu serigala dalam keadaan yang kurus kering lalu meminta izin untuk di benarkan makan kambing peliharaan orang ramai, melihat kebuluran yang menimpa keluarga serigala, maka Nabi benarkan mereka makan kambing orang ramai, tapi dengan satu syarat iaitu: hanya kambing yang sesat atau yang terpisah dari jema’ah nya.
Apabila Tabi’in (gelaran untuk orang yang tidak sempat berjumpa Nabi tapi sempat berjumpa sahabat) mendengar cerita ini, mereka semua merasa takjub dan mula menzahirkan niat akan betapa indahnya jika dapat hidup bersama sezaman dengan Nabi SAW menyaksikan peristiwa peristiwa ajaib yang bakal meningkatkan iman.
Tapi sahabat menyatakan, indah itu hanya pada kemanisan iman, kerana kami para sahabat RA pada waktu itu selalu berada dalam keadaan ujian lapar dan ancaman, kami selalu mengikat perut dengan batu, dan tidak lena malam berjaga dari serangan musuh, malahan Nabi Muhammad SAW sendiri mengikat 2 batu di perutnya di atas ujian lapar.
Lalu terbongkarlah kisah penderitaan dan pengorbanan Nabi bersama para Sahabat baginda di zaman permulaan islam.
Diriwayatakan akan kehidupan Nabi Muhammad saw itu, kebiasaanya hidup sehari kenyang dan sehari lapar, Aisyah pernah mengatakan pernah dapur rumah Nabi tidak berasap selama beberapa bulan,
Untuk pengetahuan pembaca, Nabi berlapar bukan kerana Nabi amalkan diet, atau Nabi muflis, tapi kerana rumah Nabi memang tiada makanan! Langsung! Ini adalah disebabkan oleh sekatan ekonomi daripada orang kafir yang tidak mahu menjual makanan kepada orang islam, hamba yang bekerja dikebun pula, di seksa siang malam kerana memeluk islam. Malahan sekatan ekonomi daripada orang kafir kepada orang islam membuatkan anak anak orang islam, ada yang mati di riba ibu-ibu mereka.
Maka tidak pelik, di waktu pagi apabila Nabi nak breakfirst, isteri baginda cakap makanan takde.
Maka Nabi dan isterinya buat keputusan untuk berpuasa.
Kata Ibnu Abbas r.a lebih kurang maksud:
“Berlapar selama beberapa hari adalah perkara yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan keluarga Rasullullah"
Siti Aisyah r.ha pernah di pelawa menghadir majlis makan-makan selepas zaman Nabi, lantas apabila Aisyah menyuapkan makanan ke mulutnya, Aisyah r.aha telah menangis. Sedang air mata mengalir di pipi, beliau berkata.
“Rasululullah SAW tak pernah makan roti yang sebegini lembut semasa hayatnya bersamaku..”
Aisyah berkata lagi…
“Roti yang biasa Nabi Muhammad SAW makan, adalah roti yang keras dan murah, itupun baginda tidak dapat makan sampai kenyang..(kerana sedikit sahaja yang ada dan sering di bahagi-bahagikan)”
Riwayat lain Aisyah berkata:
“Baginda tidak pernah makan kenyang selama dua hari bertutut turut walaupun dengan roti jagung dalam sepanjang hayatnya sehinggalah kewafatannya”
“Pernah satu hari apabila tiba waktu berbuka puasa, tiada apa apa makanan di rumah kami, melainkan hanya sebiji kurma, maka Rasulullah telah membahagikan kurma itu kepada dua bahagian, satu untuk aku dan satu lagi untuk baginda, dan itulah sahaja juadah kami berbuka puasa.”
Penderitaan ini bukan sahaja di alami oleh Nabi, malahan turut di alami oleh anak kesayangan Nabi Muhammad SAW yang mana pernah sewaktu Nabi ziarah anak kesayangannya Fatimah r.aha, tiga kali bagi salam dan tak ada dengar jawapan, akhirnya untuk salam yang last ada jawapan salam dari fatimah r.aha dengan nada yang perlahan, dan Fatimah r.aha merangkak membuka pintu kerana berada dalam keadaan yang sangat lapar, Nabi menangis, kemudian datang Husin dan Hasan cucu Nabi berlari ke arah baginda dengan harapan adalah makanan yang di bawa datuk mereka, tapi mereka kecewa apabila mendapati baginda SAW datang dengan tangan kosong.
Lalu nabi SAW mencium cucu kesayangannya ;
Seorang cium di perut.
Seorang cium di leher.
Lalu ter’kasyaf’lah Fatimah r.aha akan nasib yang bakal menimpa anak anak nya iaitu seorang akan di bunuh dengan di pancung dan seorang bakal dibunuh dengan di racun.
Nota kepada Mualaf: kasyaf adalah dapat melihat ramalan peristiwa hadapan dengan izin Allah.
Lalu merayulah Fatimah r.aha kepada baginda dengan linangan air mata agar Nabi SAW menggunakan doa ‘terakhir’ untuk mengubah takdir anaknya.
Nota kepada Mualaf: Setiap Nabi dan Ambia a.s mempunyai doa ‘terakhir’ iaitu doa yang paling makbul yang biasanya para Nabi gunakan untuk memohon Bala Bencana kepada ummatnya setelah beratus tahun berdakwah tapi tiada yang ikut malahan menyakitkan jasad dan perasaan Nabi –Rujuk cerita para Nabi.
Tapi Nabi SAW menolak permintaan puteri kasayangannya kerana telah berniat untuk menyimpan doa ‘terakhir’ tersebut untuk ummatnya di padang masyar.., Oh! begitu cinta sekali Nabi kepada Ummatnya..oh!
Namun aku bukan nak cerita pasal doa terakhir, apa yang aku nak cerita adalah tentang pengorbanan Nabi SAW dan sahabat sahabat RA yang sentiasa dalam keadaan menderita kelaparan dan menderita kesusahan kerana ugama.
Timbul satu soalan, kenapa di rumah Nabi tiada makanan walaupun di Madinah? sebab boikot hanya berlaku di Mekah ketika ummat islam dipulau ke lembah Abu Mutalib?
Kenapa Nabi tiada wang untuk membeli makanan?,
Adakah Nabi tak pandai berniaga?
Hello!
Korang semua yang aku muliakan.
Nabi SAW adalah pedagang yang paling mahir di zaman mudanya, menerima gaji yang paling mahal ketika berniaga di Syam, barang dagangannya cepat habis dan sentiasa mendapat keutungan yang berlipat kali ganda, tapi, itu dulu, sebelum baginda jadi Nabi SAW.
Tapi sebaik sahaja Nabi SAW di lantik menjadi Rasulullah sekalian alam, maka katanya pada isterinya yang menyelimutnya.., lipatlah kain selimut itu, sekarang tiada rehat lagi untukku, maka bermulalah PENGORBANAN dalam kehidupan Nabi SAW dalam membela ugama, seluruh harta benda jiwa raga di korbankan, peluh dan darah di alirkan semata semata untuk menegakkan ugama, seluruh fikiran di tumpukan kepada masalah ummat, tidur sudah menjadi tidak lena, makan sudah tidak lalu kerana begitu risaukan masa depan ummat sekalian alam.
Isteri baginda, Khatijah r.aha yang merupakan jutawan juga akhirnya mati sehelai sepinggang kerana telah berkorban segala galanya untuk membantu agama sehingga mewasiat, tulang tulangnya seandainya diperlukan untuk agama, sanggup di korbankan.
Begitu jugak pengorbanan di kalangan para Sahabat, sebelum islam Abu Bakar r.a ada 8 gedung perniagaan, apa telah jadi pada beliau setelah memeluk islam?
Benar, beliau telah korbankan seluruh hartanya pada ugama dan pernah memakai pakaian yang di buat dari guni dan berbutangkan duri. Sewaktu wafat hanya meninggalkan Allah dan Rasul pada keluarganya.
Saidina Umar r.a pula dihujung hayatnya, hanya memiliki sehelai baju yang bertampal tampal dan satu darinya di tampal dengan kulit binatang.
Pernah berkata Hazrat Abu hurairah r.a setelah membersihkan hidungnya dengan kain yang halus;
“Oh, Abu Hurairah, hari ini kamu membersihkan hidung dengan kain yang halus. Masih aku teringat ketika aku pengsan tidak sedarkan diri di antara mimbar Rasulullah SAW, Orang ramai menekan nekan tengkukku dengan kaki kerana mengikut petua yang kononnya aku terkena sawan, padahal aku sedang menderita kelaparan."
Itu belum aku cerita kisah Mus’ab bin Umair r.a, seorang anak orang kaya yang sentiasa memakai baju berharga 200 driham. Tapi bila masuk islam, beliau telah dibogelkan dan dibuang oleh keluarga, hujung hayatnya, beliau hanya memakai sehelai kain yang koyak rabak dan bertampal. Nabi menangis melihat keadaannya yang begitu daif, apatah lagi ketika Mus’ab bin Umair r.a terbuhuh di medan Uhud, mayatnya hanya di tutup dengan daun-daun pokok kerana tak cukup kain.
Belum cerita kisah Abu Zar, yang mati bersendirian (rujuk artikel sebelum ini)
Korang semua yang aku muliakan, Nabi SAW dan para sahabat r.a benar benar telah membuat pengorbanan untuk ugama.
Sehingga Allah telah jadikan mereka ‘asbab’ hidayat seluruh alam, di hujung dakwah Nabi, ketika peristiwa fatal Makah, Islam akhirnya menang dengan terzahirnya peristiwa berbondong bondong manusia telah masuk ke dalam agama islam.
Sebaik perjanjian Huhabiah di meterai, yang mana berlakunya gencatan senjata, maka bolehlah orang islam bergaul dengan aman bersama orang kafir yang mana telah membuka pintu hidayat selebar lebarnya sehingga dimana sahaja penjuru sahabat berada, akan ada orang yang terbuka hatinya pada islam.
Dalam peristiwa Hak, seperti kejujuran berniaga, pengorbanan melayan tetamu, sifat memaafkan, dan saling berlumba membantu orang sekeliling, akhirnya hidayat terus tersebar sehingga tiada lagi orang kafir di bumi Mekah buat selama-selamanya, dan tanah itu telah menjadi haram kepada bukan islam selamanya.
Asbab pengorbanan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi daripada perkara batil juga boleh jadi asbab hidayat.
Contohnya kisah yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id, kisah bagaimana seekor serigala kurus telah mengejar seekor kambing dan menangkapnya, lalu si pengembala yang bukan islam mengejarnya dan menarik kambing tersebut dari cengkamannya.
Tapi tiba tiba Serigala itu berkata dalam Bahasa arab:,
"Apakah kau tidak takut kepada Allah? Mengapa kau ambil paksa dariku rezeki yang telah diberikan Allah kepadaku?”
Terus pengembala itu berkata: "wah, hebatnya, serigala boleh bercakap?"
Dengan selamba serigala menjawab: “ada berita yang lebih hebat, nun di Madinah, telah lahir Nabi akhir zaman”
Terus si pengembala pergi ke Madinah, dan akhirnya masuk islam.
Tuan tuan para pembaca yang saya muliakan, Asbab pengorbanan Nabi dan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi dari perkara BATHIL, contohnya binatang seperti serigala pun boleh ‘berdakwah’ kepada islam.
Tak cukup BATHIL lagi dakwah dari serigala? Aku bagi cerita lain yang lebih gempak.
Suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang bersama Ali bin Abu Thalib dan beberapa sahabat lain, datanglah seseorang dari kabilah Bani Amir bernama Ghassan bin Malik yang berkata:
“Mahukah engkau wahai Muhammad menyampaikan semua perintah Tuhanmu atau aku yang menyampaikan perintah berhalaku?”
Rasulullah SAW menjawab, “Aku yang akan menyampaikan perintah Tuhanku.”
Baginda kemudiannya menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepadanya lalu masuk islamlah akan Ghassan..
Setelah itu Ghassan bin Malik berkata, “Kami dari kabilah Bani Amir mempunyai sebuah berhala yang kami sembah setiap hari. Suatu hari, berhala kami telah berkata: “Wahai manusia, telah diutus nabi yang jujur di Madinah”
Tuan tuan para pembaca yang saya muliakan, Asbab pengorbanan Nabi dan sahabat yang begitu tinggi, maka bukan sahaja dari perkara HAK hidayat tersebar, tapi dari perkara BATHIL, contohnya berhala pun boleh ‘berdakwah’ kepada islam.
Tak cukup BATHIL lagi dakwah dari berhala? Ingat kisah Syaitan mengajar Abu Hurairah rahsia ayat Kursi?
Kata Syaitan: "Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Bila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam, beliau berkata, “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.”
Ok, berhala dah, Syaitan dah, sekarang Aku bagi cerita lain yang lebih gempak gila. Ha ha!
Tersebutlah akan kisah sahabat Nabi yang bernama Tamin Dari r.a seorang pengembara yang terdampar di sebuah pulau dan bertemu dengan makhluk yang berbulu tebal sehingga tidak tahu jantan ke betina, dan makhluk itu membawanya berjumpa Dajjal.
Lalu Dajjal bertanya:
“Apakah buah tamar di tanah arab masih berbuah?
“Apakah air tasik di tanah arab masih mengalir?
Apabila Tamin r.a membenarkan kata-kata Dajjal, maka Dajjal bagitahu bahawa dia akan muncul apabila buah tamar dan air tasik tanah arab menjadi kering, kemudian kata Dajjal, beruntunglah sesiapa yang mengikut Nabi Muhammad SAW di Madinah, kerana akan terselamat dari fitnah Dajjal.
Korang semua yang aku muliakan sekalian.
Dajjal adalah sebesar besar batil dalam dunia ini, tapi asbab pengorbanan Nabi dan sahabat RA, Dajjalpun jadi asbab hidayat(buat dakwah)
Kadang kadang muncul syaitan di hadapan nabi lalu ‘mengajar’ ugama dengan memberitahu siapa musuhnya dan siapa kekasihnya (rujuk ustaz sebab kisah ni panjang)
Syaitan pun ‘berdakwah’? wow!
Kenapa sampai jadi macam tu?
Kerana Pengorbanan mereka terhadap agama begitu dahsyat sekali, ikat perut kerana ugama, berpeluh dan letih kerana agama, dan menitiskan darah serta air mata kerana agama!
Seorang sahabat ketika hendak di bunuh oleh seorang raja kapir telah menangis sambil berkata: aku menangis bukan kerana takut mati, aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa, seandainya aku mempunyai nyawa sebanyak bulu roma di badanku…maka, satu demi satu akan ku korbankan untuk ugama!
Nabi SAW telah mengajar Sahabat RA membuat pengorbanan ke atas agama sehingga mereka tak sempat nak majukan dunia mereka, tapi Allah telah buka pintu kemenangan yang mana akhirnya berbondong bondong manusia dari seluruh dunia telah kembali kepada Allah..
Ketika baginda wafat, Fatimah r.a telah pergi melihat mayat baginda SAW, lalu mengusap mata baginda dan berkata:
“inilah mata yang tak pernah lena kerana ummat”
Kemudian, mengusap perut baginda dan berkata:
“inilah perut yang tak pernah kenyang kerana ummat”
Kemudian, mengusap badan baginda dan berkata:
“inilah badan yang tak pernah rehat kerana ummat”
Pendek cerita, asbab pengorbanan Nabi dan sahabat, akhirnya, serigala, berhala, syaitan dan DAJJAL pun ‘berdakwah’ kepada islam.
Namun kita hari ini, apabila ummat islam termasuk aku tidak membuat pengorbanan ke atas agama, melalui perkara Hak pun hidayat boleh tersekat, jika dulu Dajjal sebesar besar batil pun boleh buat ‘dakwah’, tapi hari ini orang islam, manusia terpilih, ummat terbaik pula yang telah menghalang dakwah!
Ada ustaz dan AJK Susrau yang menghalang dakwah pintu ke pintu, menghalang orang beriktikaf di masjid, menghalang dakwah sesama islam. Adohai..
Dalam masjid hari ini, ada orang islam yang bergaduh, beza bab akidah atau mazhab, terus caci mencaci, malahan dalam parti islam, ada pecat memecat, dalam majlis ilmu juga ada caci mencaci, menkafirkan orang, menghina ulama terdahulu dan ada tahap mendoakan bala sesama islam, yang mana dalam bergamapun ada banyak unsur maksiat, bidaah sana bidaah sini, semua sesat saya sahaja yang betul, maka menyebabkan manusia makin jauh dari hidayat Allah, malahan ada yang lari dari pangkuan Allah(murtad).
Maka aku berpesan kepada diri sendiri dan juga para pembaca, jadikanlah diri kita sebagai asbab hidayat, bukan sebagai penghalang hidayat.
Untuk menjadi asbab hidayat, kita perlu tambah pengorbanan.
Tapi apa itu pengorbanan?
Sebenarnya, aku dan korang, belum lagi buat apa apa pengorbananpun, tak payah nak berlagaklah, kerana korban adalah di kira selepas kamu tunaikan HAK.
Sebagai contoh, solat jemaah adalah HAK ugama, mereka yang pergi solat jemaah baru tunaikan HAK ugama, Korban adalah apabila korang bangun malam solat tahajjud misalnya
Contoh lain, kalau kita bagi minum air pada orang yang dahaga, itu baru di kira sebagai menunaikan Hak mereka yang kehausan, tapi sekiranya kita jugak dalam keadaan dahaga, tapi masih bagi orang lain minum air itulah yang di katakan pengorbanan.
Dan itulah yang berlaku di zaman Nabi SAW dan sahabat RA, cerita seperti menjamu tetamu dengan membiarkan anak-anak mereka tidur kelaparan, cerita kepala kambing, mengikat perut kerana ugama dan lain lain itulah yang di katakan korban mereka kepada Allah,
Korban mereka tinggi, walaupun mereka tahu pahala solat di masjidil haram dan masjid Nabawi adalah digandakan ratusan ribu kali ganda, tapi mereka tetap buat pengorbanan dengan meninggalkan anak isteri dan kampong halaman berdakwah ke suluruh pelusuk alam sampai ke india dan cina!
Sesungguhnya, kubur kubur sahabat Ra telah bertebaran ke suluruh dunia hingga sampai ke negera Russia, mereka telah benar benar berkorban dan terkorban.
Aku hari ini, Bukan nak cakap pasal Korban, tunaikah Hak ugamapun belum lagi, Apa kejadah?
Sebagai contoh: aku belum menunaikan Hak Solat, Yang mana aku wajib solat jemaah awal waktu tempat azan di azankan, juga aku sepatutnya banykakkan solat sunnat dan solat tahajjud tapi aku kadang kadang just solat wajib sahaja, itupun dengan sambil lewa, acuh tak acuh!
Hampeh kepada diri sendiri!
Aku juga belum menunaikan Hak Al-Quran, Yang mana aku wajib Khatam Al-quran setiap tahun dengan tahu semua makna, tapi aku biarkan masa lapangku dengan baca komik, baca whatsapp, baca FB dan baca blog? atau baca teori kospirasi?
Adohai..
Aku juga belum menunaikan Hak Zikir, Yang mana aku sepatutnya berzikir pada waktu pagi dan petang iaitu waktu yang di haramkan solat, waktu pergi kerja dan balik kerja tapi aku dalam kereta suka dengar radio dan update lagu popular arghh! cukupkah jika aku sekadar ber’zikir’ dengan lagu nashid? Hempeh!
Aku juga ternyata belum lagi menunaikan Hak dakwah, Yang mana aku wajib ajak kawna kawan buakn islam masuk islam dan ajak orang islam amal agama tapi aku masih bersenang lenang dalam hangatnya pelukkan isteri di kedinginan malam. isk isk..
Tunaikan Hak Ugamapun Belum Lagi, Apatah Lagi Korban! Apa kejadah?
Pesanan ini di tujukan khas kepada diri sendiri.
Akhir kata: Dajjal adalah sebesar besar batil dalam dunia ini, tapi asbab pengorbanan Nabi dan sahabat RA, Dajjalpun jadi asbab hidayat, maka kenapa kita dalam hidup beragama Islam boleh bergaduh sesama kita?
Renung-runungkan, dan selamat muhasabah diri!
Woha!
kata-kata ulama tentang ilmu 在 Pakar diari hati Facebook 八卦
KATA-KATA Imam Syafie tentang ilmu :
* Sesiapa menuntut ilmu, maka hendaklah ia mendalaminya, tanpanya kehalusan ilmu akan hilang.
* Perhiasan ulama’ ialah petunjuk (At Taufik) manakala pakainnya pula ialah baik akhlaknya sementara kecantikan mereka ialah jiwa mulia.
* Sesiapa hendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga hendaklah ia mencari ilmu.
SEBARKAN.
kata-kata ulama tentang ilmu 在 Pakar diari hati Facebook 八卦
AKU DAN WAJAH KEMATIAN
Ustaz fahrol muhamadjoi
Masih saya ingat pesan ulama, salah satu cara untuk mengingatkan diri kepada kematian ialah dengan mengenangkan saudara, sahabat atau kenalan terdekat yang telah meninggal dunia. Bayangkan wajah mereka. Kenangkan detik-detik terakhir bersama mereka. Dulu dia yang ada di sisi, kini tiada lagi. Itu sesungguhnya akan menginsafkan.
Pesan ulama itu lagi, “jika mereka telah pergi, resapkan ke dalam hati mu sendiri bahawa kau juga pasti menyusul. Ingat mati itu ‘zikir yang senyap’. Apabila hati semakin keras, keinginan dan godaan untuk melakukan dosa kian membuak-buak, ingatlah mati... hati mu akan lembut kembali.”
Bila direnung wajah kematian, terasa sangat aneh dan misteri. Betapa ada insan yang dirasakan akan hidup lama, tetapi mati dengan tiba-tiba. Dan betapa ada insan yang dijangka tidak mempunyai harapan lagi, tetapi mampu terus bertahan dan hidup lebih lama. Cerita mati, cerita yang misteri. Detik tibanya ajal adalah rahsia seni Ilahi. Terlindung, tanpa dapat ditebak. Tersembunyi, tanpa dapat diagak. Itulah wajah kematian, pemutus segala kelazatan, mencantas impian dan harapan.
Dari diari kehidupan saya sendiri, saya cuba mencoret beberapa kisah tentang wajah kematian.
I.
Saya mulakan dengan cerita pertama, mesejnya: Bagaimana mati itu pemutus segala cita-cita dan harapan:
“Bagaimana ustaz, apakah wajar tindakan saya ini?”
Saya senyum, lalu saya tepok bahunya.
“Tahniah. Kamu anak yang baik, “ kata saya sambil merenung wajah kacaknya. Pemuda yang bekerja sebumbung dengan saya itu turut tersenyum. Jelas terpancar kelegaan pada wajahnya. Dia begitu pasti dengan keputusannya.
Hati saya turut berbangga. Masakan tidak, betapa masih ada seorang pemuda muslim yang rela menangguhkan perkahwinannya demi memberi laluan untuk keselesaan ibu yang dikasihinya. Sudah semakin sukar untuk kita temui pemuda yang begitu.
“Ibu dan keluarga telah lama berkorban untuk membesar dan mendidik saya. Sekarang, saya pula ingin memberi sedikit kesenangan buat ibu yang telah tua. Bimbang, tidak sempat. Jadi, saya ambil keputusan menangguhkan sementara perancangan pernikahan saya. Tidak lama... hanya lebih kurang 6 bulan. Apa pendapat ustaz?”
“Sudah istikharah?”
“Sudah...”
“Bagaimana dengan hati mu? Sudah tetap?”
“Hati saya tetap. Tak berbelah bagi. Kebajikan ibu perlu saya dahulukan.”
Begitulah antara isi perbualan kami sepanjang masa rehat menjelang solat Zuhur di surau tempat kami bekerja. Saya sudah menganggapnya seperti anak sendiri, walaupun kesempatan berbual seperti itu cuma datang sekali-sekala. Kami sering sahaja berpapasan, bertukar senyuman dan bertegur sapa. Tapi luar biasanya, perbualan kami tengah hari itu sangat mengesankan. Itulah kali pertama perbualan kami seserius itu. Dia meminta pandangan tentang dilema dirinya.
Namun, tidak sampai sebulan kemudian, tiba-tiba pada saat saya memandu menuju masjid untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan itu, terdengar suara seorang sahabat di hujung talian...menyampaikan berita tentang pemergiannya. Dia meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian apabila motosikal yang dipandunya bergeser dengan sebuah lori. Saya sangat terkejut. Selepas solat maghrib saya terus bergegas ke hospital...dan setelah menunggu beberapa ketika, baru dapat menatap wajah jenazah yang sudah siap dibedah siasat. Pucat sekali...
Tidak dapat saya bayangkan apa agaknya reaksi ibu dan bakal isterinya. Sehingga ke hari ini, apabila teringat sahaja perbualan terakhir kami berdua , air mata saya akan terus mengalir. Izrail, telah mendahului cita-cita dan cintanya! Saya mendoakan niat baiknya akan diberi ganjaran oleh Allah. Di sisi Allah segala niat baik akan kesampaian. Bukankah Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa niat orang mukmin itu lebih baik daripada amalnya?
II.
Mari saya kongsikan cerita kedua. Mesejnya, mati itu menamatkan semua persoalan dan jawapan.
Dia seorang ahli kumpulan nasyid yang mencipta sejarah Tanah Air. Saya rapat dengannya lama sebelum dia mencapai tahap populariti seperti itu. Namun, dek pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupan, hubungan kami semakin jarak. Bukan disebabkan oleh apa-apa salah faham atau masalah, tetapi hanya kerana kesibukan dan bidang kerja kami yang berbeza. Dia dalam dunia hiburan Islamiknya. Saya pula sibuk melsayakan pelbagai kerja – pada satu masa, daripada bertugas sepenuh masa sebagai ko-kaunselor, menulis artikel dan skrip, mengambil upah menaip, membuat serta menjual kuih-muih dan nasi lemak.
Walaupun saya pernah menulis beberapa lirik nasyid untuk kumpulannya lama sebelum mereka tersohor, tetapi cabaran menyara hidup keluarga pada waktu itu begitu getir. Mungkin itu menyebabkan kami renggang. Ketika dia di puncak, saya masih merangkak. Walaupun begitu... ada masanya dia masih sudi singgah di meja tepi jalan tempat isteri saya menjual nasi lemak. Menurut isteri, kemesraan dan budi bahasanya masih kekal seperti dulu. Hati saya tetap menyimpan hasrat, mudah-mudahan dapat lagi berbual mesra dengannya seperti dulu-dulu..
.
Entah apa sebabnya, pada satu malam, ketika bersiap-siap untuk menghantar anak ke kelas malam di sekolah berhampiran, telefon di rumah berdering. Terkejut, rupa-rupanya dia yang membuat panggilan.
“Boleh saya nak berjumpa ustaz sekarang? Ada hal penting yang hendak dibincangkan.”
“Boleh...tapi saya perlu menghantar anak ke kelas malamnya dahulu,”jawab saya.
“Berapa lama tu?”
“InsyaAllah, lebih kurang 10 minit. Saya akan balik semula ke rumah.”
“Oklah,”jawabnya pendek.
Balik sahaja daripada menghantar anak, saya menunggu di tepi telefon. Saya belum mampu lagi memiliki telefon bimbit ketika itu. Saya menunggu dan terus menunggu. Ingin rasanya membuat panggilan, tetapi silap saya juga, tidak tahu nombor telefonnya. Malam itu berlalu tanpa panggilan darinya. Sekali-sekala saya menjenguk keluar tingkap kalau-kalau ada kereta yang singgah. Mana tahu, dia datang membuat kejutan.
Malam demi malam, hari demi hari, dan akhirnya beberapa bulan pun berlalu. Ingatan kepadanya cuma datang sekali-sekala terutamanya apabila telefon berdering. Diakah itu?
Tiba-tiba pada satu pagi, ketika berada di sebuah pusat latihan di tengah belantara, saya mendapat berita tentang pemergiannya. Dia mati mengejut ketika dalam perjalanan dari sebuah tugasan. Masih muda. Masih bertenaga. Masih membara dan menyala oleh jiwa kreatif dan inovatifnya dalam bidang yang diminatinya sejak lama. Namun maut, mana mengenal itu semua...Manusia merancang penuh harapan, Allah menentukan penuh kepastian.
Tanpa punya kenderaan dan kesempatan, saya yang berada jauh ketika itu hanya sempat mendoakan agar rohnya diampuni dan dikasihani Allah. Sehingga sekarang, hati saya masih tertanya-tanya, apakah perkara penting yang hendak dikongsinya bersama saya pada malam itu? Mengapa dia tidak membuat panggilan semula? Mengapa dia terus menyepi? Pelbagai tanda tanya terus ternganga tanpa siapa pun dapat menjawabnya hingga kini...
Maut, begitulah tabiatnya. Tidak tercepat, tidak terlambat, walau sesaat. Ia menamatkan semua persoalan dan meranapkan segala jawapan. Bila Izrail sudah memanggil, setiap insan akan sibuk dengan dirinya masing-masing tanpa sempat memikirkan sedikit pun hal-hal yang lain. Hari kematiannya itulah yang jauh lebih besar, dahsyat dan hebat berbanding hari-hari istimewa sepanjang kehidupan kita.
III.
Ini cerita terakhir, cerita yang menghiris hati ku sehingga kini. Mesejnya, mati tidak kenal erti tunggu dan nanti.
Dia dan saya bukan sekadar besan tetapi sudah menjadi semacam sahabat yang akrab. Jarang bertemu, kerana saya tinggal di tengah, dia pula...nun di Selatan Tanah Air. Namun sekali bertemu, kami jadi sangat mesra. Seperti adik dan abang. Setiap kali bertemu saya akan menjadi pendengar setianya. Mendengar cerita lamanya sebagai peneroka tanah pertanian yang asalnya hutan belantara. Berbekalkan sabit, cangkul, parang dan sebagainya dia menerangi hutan.
Di situlah dia membina ‘istana’ buat keluarga yang dicintainya. Di tanah itulah dia ‘bertarung’ dengan segala cabaran dan kesusahan. Duri, ular, binatang buas dan sebagainya. Semuanya diceritakannya satu persatu. Kesusahan, apabila sudah menjadi kenangan, akan membuahkan satu kepuasan. Kepuasan itulah kemanisan. Sambil bercerita, dia akan sibuk menyuruh saya makan, minum dan menjamu apa sahaja untuk meraikan kedatanganku.
“Ustaz, saya tidak ada ilmu...yang ada cuma pengalaman. Saya bekerja pakai tenaga, pakai otot, ilmu agama sekadarnya, tetapi cukuplah itu untuk mengenalkan anak-anak kepada agamanya. Isteri sayalah yang banyak mengajar anak-anak. Dia lebih banyak ilmu daripada saya,” begitulah selalu kata-kata yang diulang-ulang kepada saya. Bila sudah tua, kita akan cenderung menceritakan kisah yang sama berulang-ulang. Orang tua tidak ada cerita baru, yang ada hanya cerita lama yang masih baru dalam kenangan dan ingatannya. Untuk menyayangi mereka... cukup hanya dengan mendengar!
Saya masih ingat kali terakhir bertemunya, dia telah begitu uzur. Tidak mampu lagi melangkah kecuali dalam jarak yang dekat-dekat. Tetapi kemesraan kami berdua tetap hangat. Sambil dia bercerita, saya urut-urut tangannya. Kulit dan otot yang kendur itu umpama kanvas yang telah melukiskan segala perjuangan dan pahit getirnya membina sebuah keluarga yang stabil dan berjaya seperti yang sedang dinikmati oleh anak-anak, menantu dan cucu-cucunya sekarang. Kadangkala dia menangis sambil bercerita. Saya hanya mampu menahan sebak di dada.
“Ayah sunyi. Ayah semakin uzur,” kata menantu lelaki saya apabila saya bertanya khabar tentang ayahnya . Saya diam, itulah juga yang mula saya rasakan sekarang. Sunyi...kerana tidak ada lagi berita, cerita atau langkah baru. Kehidupan pada usia tua bagaikan satu ‘raptai’ untuk tinggal di alam Barzakh. Tanpa amal, solat, sedekah, Al Quran, sebagai pendamping... hidup ‘di sana’ pasti sunyi. Justeru, saya bukan sahaja memahami bahkan merasai, kesunyian besan saya itu. Lalu setiap kali ke Selatan, jika punya masa dan kesempatan, saya akan menziarahinya di daerah pedalaman itu.
Saya masih ingat lagi pada suatu program latihan dan kuliah saya ke Selatan waktu itu. Saya betul-betul dalam dilema. Oleh sebab terlalu ingin bertemu, saya ada membayangkan kepada menantu lelaki yang saya akan singgah menziarahi ayahnya. Saya tahu itu khabar gembira dan sangat dinanti oleh ayahnya. Namun, setelah melihat jadual yang padat... seakan-akan mustahil untuk saya memenuhi hajat itu.
Bayangkan, selepas memberi kuliah pada waktu pagi sampai tengah hari, dan perlu bergerak ke lokasi agak jauh pada waktu petang, dan perlu kembali semula ke Kuala Lumpur untuk program pada pagi berikutnya.
“Beritahu ayah, mungkin kami tak dapat singgah kali ini,”beritahu saya kepada menantu melalui telefon. Teman yang menjadi pemandu di sebelah saya mengangguk-angguk sama. Dia juga keletihan. Program kami sangat padat. Saya penat melaksanakan program latihan, memberi kuliah dan mengendalikan sesi soal-jawab, manakala dia pula letih memandu berjam-jam di samping mengendalikan semua peralatan teknikal.
“Tidak mengapa, 2 minggu lagi kita akan ada program lagi di selatan. Kita boleh ziarah nanti, insyaAllah,” ujar pembantu saya menyedapkan hati saya. Agaknya dia boleh membaca keresahan di wajah saya. Saya mengangguk perlahan. Tetapi, entah mengapa hati saya masih resah.
Malam itu setelah tamat program kami berkejar pulang ke Kuala Lumpur. Esoknya, awal pagi saya terus mengendalikan program lagi. Mujur tidak jauh. Di sekitar Lembah Kelang juga. Hari-hari berikutnya, program latihan terus kami kendalikan. Inilah rutin yang saya istilahkan sebagai ‘tidak sempat letih’... (untuk merasa letih pun tidak sempat.)
Seingat saya tidak sampai 4 hari selepas program di Selatan itu, tiba-tiba pada satu senja saya mendapat panggilan daripada menantu, “ayah sakit kuat. Sekarang sudah berada di hospital.” Bayangkan, saya mendapat panggilan itu sebelum masuk waktu maghrib dan saya dijadualkan akan memberi kuliah selepas itu.
Untuk tidak menghampakan ahli jemaah yang begitu ramai datang (ada majlis kenduri sempena maulidur Rasul atau maal hijrah...saya sudah tidak berapa ingat), saya memberi kuliah juga. Cuma setengah jam...saya mohon pada pengerusi untuk segera bergerak ke Selatan.
Sebaik masuk ke dalam kereta yang telah sedia menunggu di perkarangan masjid, saya terus berkata, “jom kita terus ke Selatan!” Semua ahli keluarga yang ada di dalam kereta menyepi. Senyap dan bungkam. Tiba-tiba, anak seorang anak lelaki saya bersuara perlahan...tetapi sangat jelas didengar, “ayah, Pak cik telah meninggal dunia sebentar tadi!”
Semacam luruh seluruh anggota saya. Saya menangis teresak-esak. Sebak. Sungguh ini tidak saya jangka. Tidak saya pinta. Namun, siapalah saya...untuk mohon menangguhkan kematian orang lain sedangkan kematian sendiri pun nanti, pasti saya tidak mampu minta penangguhannya.
Apabila sampai di rumah Allahyarham beberapa jam kemudian, saya hadir seperti orang yang bersalah dan kalah. Saya tidak dapat menahan tangis sewaktu solat jenazah dan mengiringi jenazahnya ke pusara. Selain saat pemergian ibu mertua dan ayah saya sendiri, itulah saat yang paling sedih dalam hidup saya. Saya mula memikirkan, apalah yang saya cari dan buru dalam hidup ini? Apabila saya lihat liang lahad tempat wajahnya bersentuh tanah, saya terus menangis... kenikmatan walau sebesar langit dan bumi, segala-galanya akan berakhir di sini.
Lebih menyedihkan apabila saya mendapat berita dari seorang anaknya yang meluahkan, “ ayah sebenar-benar sangat sedih bila ustaz tak jadi datang. Dia berkata, tak apa ustaz tu sibuk....bukan senang dia nak atur masa...”
“... Tetapi walaupun setelah berkata begitu, ayah masih dan terus berharap. Dia bergerak sekali-sekala ke depan rumah dan matanya menoleh pandang ke jalan raya di hadapan rumah, kami tahu, dia masih berharap ustaz datang...dia masih terus menanti,”sambungnya lagi.
Lalu apa yang saya rasa sebagai insan yang paling malang? Menghampakan harapan orang sesungguhnya lebih menyakitkan. Rasa bersalah yang menusuk pedih hingga ke saat ini. Jauh di sudut hati, menjerit-jerit mahu meminta maaf...namun pada siapa? Di mana? Bagaimana? Sungguh saya berjanji pada diri, saya tidak akan berani lagi ‘bermain-main’ dengan mati... yang tidak pernah mengenal istilah tunggu dan nanti.
Lalu, ketika saya menulis artikel ini, yakni ketika sunyi-sunyi sendiri, ketika mendidik diri supaya sentiasa mengingati mati, saya tulis peringatan buat hati sendiri:
“Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita tidak akan tega untuk terus bersengketa.
Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menghargai setiap pertemuan.
Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan bersedia memaafkan bahkan melupakan.
Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan menekuni ketaatan dan meminggirkan kemaksiatan.
Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan banyak memberi dan kurang menerima.
Jika kita sedar mati datang tiba-tiba, kita akan memandang segalanya penuh cinta...penuh hiba! “
Ah, itulah kisah saya dengan wajah-wajah kematian orang. Akan tiba jua masanya kisah kematian saya pula ditulis orang... sudikah?