[Sejarah Berhala Di Tanah Arab]
Tanah Arab merupakan lokasi berkembangnya keturunan nabi Ismail setelah peristiwa pembangunan semula Kaabah pada zaman nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim, dan anaknya Ismail dan Ishaq adalah rasul yang membawa ajaran Islam sejak dari dahulu lagi, firman Allah yang bermaksud:
“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi muslim dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.” (Ali Imran: 67)
“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam”. (Al Baqarah: 132)
Aqidah tauhid dan agama yang dibawanya adalah sama dengan nabi-nabi lain. Ketika keturunan nabi Ismail (Ishmaelites) berkembang di Mekah, aqidah tauhid ini mendominasi di kota Mekah. Patung dan sembahan berhala tidak wujud kecuali di luar sekitar tanah Arab seperti di bahagian Mesopotamia dan pengaruh sekitarnya.
Lama-kelamaan situasi berubah sehinggalah kepercayaan kepada tauhid terhakis dan mula malap. Setelah itu mula masuknya unsur-unsur syirik yang dibawa dari luar Mekah oleh seorang yang bernama Amru Ibnu Luhaiy al Khuzai’e. Diriwayatkan dalam sebuah hadis nabi bersabda yang bermaksud:
“Hai Aksam aku lihat Amr bin Luhaiy bin Qama'ah bin Khindzif, menyeret usus-ususnya, dan aku tidak melihat orang amat mirip dengan orang lain melainkan engkau denganya dan dia denganmu." Aksam berkata, Barangkali kemiripannya denganku membahayakanku, wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda tidak kerana engkau orang mukmin dan dia orang kafir. Dialah orang yang pertama kali mengubah agama Ismail, memasang berhala, mengiris telinga unta melepas saibah memberikan washilah,dan melindungi haam.” (Silsilah Shahihah: 4/243: sanad Hasan)
Berdasarkan hadis ini, Amru Ibnu Luhaiy al Khuzai’e adalah orang yang mula-mula mengubah ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Ismail. Dia mengembara dan membawa balik patung berhala untuk diperkenalkan di Mekah. Ulama berpandangan berhala yang dibawa oleh Amru Ibnu Luhaiy bernama Hubal. Setelah itu berkembanglah konsep penyembahan berhala di kalangan orang Arab akhirnya mereka mula mencipta dan menamakan berhala-berhala mereka sebagai Uzza Latta, Manat dan lain-lain. Firman Allah yang bermaksud:
“Maka apakah patut kamu (orang-orang musyrik) menganggap (berhala) Al Lata dan Al Uzza, dan Manat, yang ketiga yang paling kemudian (sebagai anak perempuan Allah)” (an Najm: 19-20)
Seperti kepercayaan dewa-dewi dalam tamadun lain, masyarakat Arab juga memiliki sembahan dewi yang dianggap perantaraan Allah yang bersifat feminin. Yang mana mereka menyembah berhala dewa-dewi disamping mereka mengetahui ada Tuhan yang Utama disebalik sembahan mereka itu.
Ini kerana orang Arab pada ketika itu sudah mengenal Tuhan Yang Tertinggi adalah Allah. Akan tetapi mereka tidak memberhalakan Allah seperti mereka memberhalakan dewa-dewi.
Berhala Dan Allah.
Hubal, Manat, Al Latta, Uzza adalah nama berhala yang menjadi perantaraan kepada Allah pada ketika itu. Tetapi bangsa Arab tidak mengenal mereka dengan Allah kerana bagi mereka Allah adalah Tuhan Yang Tertinggi yang tidak diimejkan. Hal yang sama dapat dilihat di dalam tradisi Hindu, mereka memiliki kepercayaan Tuhan tertinggi bernama Brahman, tetapi Brahman tidak pernah diimejkan dan dipatungkan akan tetapi dewa-dewi lain di bawahnya seperti Siva, Visnu, Brahma, Murugan, Ganesha dan lain-lain itu yang diwajahkan.
Begitu juga di dalam kepercayaan masyarakat Cina. Mereka percaya terdapat kuasa yang Maha Kuasa yang tidak boleh diimejkan dan diberhalakan yang dikenali sebagai ‘Dao’ 道 (sekiranya dalam falsafah Taoisme) atau ‘Tian’ 天 (sekiranya dalam falsafah Konfusianisme). Disamping mereka mengetahui adanya kuasa terhebat (Tuhan) itu yang tidak diberhalakan, akan tetapi mereka menyembah dewa-dewi di bawahnya seperti Kwang Yin, Maharaja Jed, Tua Pek Kong dan banyak lagi. Dewa-dewi inilah di ukir patung dan diwajahkan mereka.
Begitu juga situasi di Arab pada suatu ketika dahulu. Mereka percaya kepada ‘ilah’ (tuhan; dewa; sembahan) selain daripada Allah akan tetapi mereka tidak memberhalakan Allah.
Antara Hubal Dan Baal
Terdapat ramai pengkaji dari orientalis, mereka mengatakan bahawa asal patung Hubal yang dikatakan berhala yang pertama dimasukkan ke Mekah adalah berasal dari patung Baal yang dibawa dari Moab. Jika diteliti semula, Hubal bukanlah berasal daripada patung Baal yang disembah oleh masyarakat di Mesopotamia.
Pertama, tidak ada riwayat samada dalam al Quran dan Hadis mengatakan Amru Ibnu Luhaiy membawa patung bernama Hubal ke Mekah. Kedua, Baal adalah patung yang disebut di dalam al Quran iaitu mengenai perjalanan dakwah nabi Ilyas di Kan’an yang berdepan dengan penyembah Baal, di dalam al Quran bermaksud:
“Patutkah kamu menyembah berhala Ba'l, dan kamu meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta?” (Shaaffaat: 125)
Sekiranya perkataan Baal itu sudah diguna pakai mengisyaratkan kepada berhala kaum nabi Ilyas, ini menunjukkan bahawa Baal dan Hubal adalah dua entiti sembahan yang berlainan. Ketiga, Hubal pula tidak disebut di dalam al Quran.
Di dalam mana-mana perkembangan dunia politeisme, khususnya kepercayaan kepada penyembahan dewa-dewi, mereka memiliki konsep penyembahan yang bersifat lokal dan bergantung kepada semangat tempat. Lihat sahaja konsep dewa-dewi dalam Shinto (Jepun), Mesir Kuno, Mesopotamia, Greek, Yunani, dan China, masing-masing akan memiliki persamaan dalam konsep pembahagian tugas dewa-dewi seperti adanya dewa pemusnah, pencipta, penjaga, dewa ribut, bulan, dan matahari. Walaupun sama, tetapi semangat dan nama sembahan itu berbeza-beza mengikut tempat.
Begitu juga berlaku kepada penyembahan berhala di tanah Arab. Nama Latta, Uzza, Manat Hubal dan lain-lain adalah diberi nama sempena semangat Mekah. Walaupun ada persamaan di antara konsep tugas berhala itu sebagai contoh dewa Bulan umpamanya, di dalam mitos Jepun dewi bulan dikenali sebagai Tsukuyomi, manakala di Mesopotamia pula mengenal dewa bulan sebagai Sin, Nanna, Suen dan Asimbabbar. Dalam kepercayaan Cina pula ia dikenali sebagai Chang'e. Manakala di Mekah pula terdapat kajian yang mengaitkan Hubal itu sebagai dewa bulan.
Hubal Bukan Allah
Carleton S. Coon dan Robert Morey antara individu yang sering menjaja tuduhan bahawa umat Islam menyembah dewa bulan. Beliau nekad membawa pandangan dengan mengatakan bangsa Arab menganggap Hubal itu adalah Ilah yang paling utama bagi mereka. Hasil daripada itu mereka berhipotesis bahawa Allah adalah gelaran untuk Hubal. Dari hipotesis itulah dikaitkan pula dengan dewa Bulan yang dikatakan kalta penyembah berhala yang mendominasi di tanah Arab pada suatu ketika dahulu.
Pertama, tidak ada bukti yang mengatakan Hubal itu adalah Allah seperti didakwa oleh Pastor Robert Morey dan Carleton S. Coon. Sekiranya mereka mengatakan orang Arab pada zaman dahulu menganggap Hubal itu Allah, bagaimana pula dengan hadis yang menceritakan situasi selepas perang Uhud:
“..Abu Sufian berkata: Perang ini sebagai balas bagi perang Badar kerana dalam perang kemenangan memang silih berganti. Sungguh kalian akan mendapati kaum (kafirin) mengelar dan mencincang jasad korban yang aku tidak memerintahkannya tapi aku juga tidak merisaukanku. Kemudian Abu Sufyan mulai mendendangkan: Agunglah Hubal, agunglah Hubal. Maka Nabi (s.a.w) berkata: Mengapa kalian tidak membalasnya? Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apa yang harus kami katakan? Nabi (s.a.w) bersabda: Ucapkanlah: Allah Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi. Abu Sufian berkata lagi: Kami punya tuhan Hubal sedangkan kalian tidak punya. Maka Nabi (s.a.w) berkata lagi: Mengapa kalian tidak membalasnya? Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apa yang harus kami katakan? Nabi (s.a.w) bersabda: Ucapkanlah: Allah Pelindung kami sedangkan kalian tidak punya pelindung.” (Hadith riwayat al-Bukhari dalam kitab peperangan, bab peperangan Uhud no: 3039. Abu Daud dalam kitab jihad no: 2662)
Ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan diantara penggunaan nama Allah dan juga Hubal. Dan ia adalah dua konotasi yang berbeza samada dari sudut maksud dan juga penggunaan. Oleh itu, hujah yang mengatakan Allah itu adalah Hubal adalah tidak terpakai.
Seperkara lain lagi, Hubal tidakah terkenal seperti Uzza, Latta dan Manat. Malah orang Arab Mekah Jahiliyyah jarang mengelar diri mereka (kuniah) sebagai Abdul Hubal berbanding dengan kuniah Abdul Manat, Abdul Uzza dan lain-lain.
Nabi Muhammad Memurnikan Islam
Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan di Mekah untuk memurnikan semula ajaran nabi Ibrahim dan Ismail yang telah dicemari oleh tangan-tangan orang sebelumnya. Malah baginda juga membawa syariat dan kitab yang terakhir.
Baginda berdakwah kepada kaumnya agar meninggalkan sembahan berhala dan mentauhidkan Allah. Malah Allah menegaskan perkara itu di dalam al Quran dengan memperingati agar mereka yang menyembah berhala itu berfikir:
“Apakah mereka mempersekutukan (Allah dengan) berhala-berhala yang tak dapat menciptakan sesuatupun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (Surah Al-'A`raf : 191)
“… dan berhala-berhala yang mereka seru selain Allah, tidak dapat membuat sesuatu apapun, sedang berhala-berhala itu (sendiri) dibuat orang.” (Surah An-Nahl: 20)
Malah Allah juga memberi kenyataan sejarah yang sangat benar, firman yang bermaksud:
“Benda-benda yang kamu sembah itu tidak lain hanyalah nama-nama yang kamu dan datuk nenek kamu menamakannya. Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Mereka yang berbuat demikian, tidak menurut melainkan sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsunya. Padahal demi sesungguhnya telah datang kepada mereka petunjuk dari Tuhan mereka.” (Surah an Najm: 23)
Di saat nabi Muhammad SAW menawan kota Mekah, ketika itu terdapat sekitar 360 buah berhala yang sekeliling Kaabah. Disebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Nabi shallallahu 'alaihi wasallam masuk ke Kaabah saat yang ketika itu berisi tiga ratus enam puluh patung, lalu Baginda menusuk dan menghancurkannya dengan menggunakan tongkat yang ada di tangan Baginda seraya berkata: Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebathilan.” (Shahih Bukhari no: 2478)
Islam sangat menekankan kemurnian tauhid. Islam tidak memperkenalkan konsep perantaraan untuk seseorang menuju kepada Tuhan. Protokol antara manusia dengan Allah dalam Islam adalah berdoa terus kepada Allah. Mengikut segala anjuran dan larangan yang digarisi di dalam al Quran dan Sunnah nabi Muhammad SAW.
Kesimpulan
Pada asalnya agama Islam yang dibawa oleh nabi Ibrahim itu adalah mentauhidkan dan mensucikan Allah dari segala apa jenis sembahan sekalipun. Akan tetapi lama-kelamaan, tauhid di kalangan masyarakat Mekah mula menghakis dan mula dipengaruhi oleh unsur-unsur luar sehingga berlaku sinkretisme ke dalam masyarakat Mekah dan berlakulah penyembahan berhala. Berhala-berhala itu dibina dengan kehendak dan pemikiran mereka. Datangnya nabi Muhammad SAW memurnikan semula ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Ibrahim. Sehinggalah pada hari ini umat Islam terkenal dengan golongan yang mentauhidkan Allah dan tidak menyekutuNya dengan apa-apa pun.
Akan tetapi di celah-celah itu masih terdapat golongan yang menuduh umat Islam menyembah dewa bulan seperti diperkenalkan oleh Pastor Robert Morey. InsyaAllah, artikel seterusnya akan menjawab dakwaan dan tuduhannya terhadap umat Islam.
Rujukan
[1] Carleton S. Coon, (1944). jurnal Southern Arabia, A Problem For The Future, Smithsonian Institution, Itali.
[2] Dr. Robert A. Morey, (2011). The Islamic Invasion, Xulon Press, USA.
[3] Sami Abdullah al Maghlouth, (2011). Atlas Agama-Agama, Penerbit Alhamira, Jakarta, Indonesia.
[4] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017). Yahudi Kristian Hindu Buddha Berasal Daripada Islam?, PTS, Selangor, Malaysia.
[5] Dr. Ahmad Syalabi, (2010). Ensiklopedia Sejarah Islam, Jasmin, Selangor, Malaysia.
[6] Prof. Dr. HAMKA, (2006). Sejarah Umat Islam, Pustaka Nasional, Singapura.
R&D TEAM MRM
同時也有10000部Youtube影片,追蹤數超過62萬的網紅Bryan Wee,也在其Youtube影片中提到,...
「hubal」的推薦目錄:
- 關於hubal 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook
- 關於hubal 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook
- 關於hubal 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook
- 關於hubal 在 Bryan Wee Youtube
- 關於hubal 在 Travel Thirsty Youtube
- 關於hubal 在 スキマスイッチ - 「全力少年」Music Video : SUKIMASWITCH / ZENRYOKU SHOUNEN Music Video Youtube
- 關於hubal 在 Primorye Vladivostok vs UKS Hubal Bialystok (Match 5, Group ... 的評價
hubal 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook 八卦
[Menjawab Tuduhan: Allah Adalah Dewa Bulan]
Tuduhan yang mengatakan umat Islam menyembah Allah yang merupakan dewa pagan dikenali sebagai dewa bulan itu adalah dakwaan yang tidak bertanggunjawab. Tuduhan mengatakan Allah adalah dewa bulan ini dicetuskan oleh seorang Pastor bernama Robert Morey di dalam bukunya The Islamic Invasion. Setelah itu idea yang sama dikembangkan oleh seorang anthropologis yang bernama Carleton S. Coon.
Beliau mendatangkan hujah bahawa Allah yang disembah oleh orang Islam itu merupakan dewa bulan bernama Hubal. Selain dari nama Hubal ia juga disebut sebagai ‘Ilah’ yang disembah bersama dengan berhala al Latta, Uzza, Manat, Manaf dan lain-lain. Perbahasan ini sudah dipanjangkan di dalam artikel sebelum ini: http://bit.ly/2pVvL23 (Sejarah Berhala Di Tanah Arab)
Sebelum kedatangan nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab Mekah dahulu telah mengubah ajaran nabi Ismail yang membawa Islam yang mentauhidkan Allah. Akan tetapi datang seorang bernama Amru Ibnu Luhaiy al Khuzai’e yang mula mensyirikkan Allah dengan membawa sebuah patung berhala setelah pulang dari pengembaraannya. Hasil daripada pengaruh berhala yang dibawa oleh Amru Ibn Luhay al Khuzai’e ke Mekah menyebabkan berkembangnya penyembahan dan pengukiran berhala di Mekah.
Setelah itu diutuskan nabi Muhammad SAW bagi memurnikan semula ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu dan baginda menentang segala fahaman yang membawa syirik kepada Allah. Baginda juga telah memusnahkan 360 buah patung berhala yang dipuja di Kaabah. Berhala-berhala yang disembah oleh orang Arab suatu ketika dahulu itu berfungsi sebagai perantaraan antara seseorang dengan Allah. Fahaman ‘perantaraan’ inilah yang dibanteras oleh Islam.
Berbalik kepada tuduhan Robert Morey, sekira benar agama Islam ini menyembah dewa bulan yang merupakan salah satu berhala yang berada di Kaabah, harus mengapa nabi Muhammad memusnahkannya? Ini bukti jelas yang Islam tidak meletakkan nilai ‘penghormatan’ walau sekecil debu kepada dewa bulan.
Malah lagi parah jika dikaitkan umat Islam menyembah dewa bulan, sedangkan di dalam al Quran Allah jelas mengatakan yang bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari mahupun bulan, tapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, Jika Ialah yang kamu hendak sembah.” (Surah Al-Fussilat: 37)
Di dalam ayat ini jelas Allah menyuruh menyembahNya sahaja! Dan bukan menyembah matahari dan bulan. Sekiranya dewa bulan itu dimuliakan, harus mengapa ayat ini menafikan ‘kemuliaannya’?
Akan tetapi Robert Morey cuba mencari hipotesis untuk mengaitkan agama Islam dengan dewa bulan dengan menunjukkan kesan pahatan dewa bulan yang disertakan dengan gambaran ukiran bulan sabit dan bintang. Di atas alasan itu, lalu dia mengaitkan simbol bulan bintang yang berada di kebanyakkan bendera negara Islam dan di menara masjid umat Islam. Selain itu juga beliau cuba menguatkan lagi teorinya dengan mengatakan umat Islam menggunakan kelander mengikut kiraan bulan sepertimana bulan sabit bagi mengetahui masuknya bulan Ramadhan dan juga Syawal.
Jika dilihat kepada keseluruhan hujah Robert Morey, beliau hanya berdiri di atas dua hipotesis ini sahaja untuk mengaitkan dewa bulan itu kepada Allah.
Pertama, Robert Morey menggunakan alasan umat Islam menggunakan simbol bulan dan bintang di bendera mereka adalah sebagai bukti umat Islam mendewa-dewakan dewa bulan. Hujah ini paling tidak logik sekali kerana jika dibilang jumlah bendera umat Islam yang tidak menggunakan simbol bulan bintang adalah lebih banyak. Seperti negara Arab Saudi, Afghanistan, Bahrain, Brunei, Mesir, Maghribi, Kuwait, Iraq, Palestin, Sudan, Syria, UAE, Yaman, Bangladesh, Indonesia, Qatar dan banyak lagi negara yang majoriti umat Islam yang tidak menggunakan simbol tersebut. Ini menunjukkan simbol itu bukan simbol keagamaan.
Malah terdapat banyak masjid yang dibina tidak menggunakan simbol bulan dan bintang dan tidak ada apa-apa kelebihan terhadap simbol itu.
Kedua, di dunia ini kita sedia maklum memiliki beberapa jenis kalender untuk mengira hari, bulan dan tahun. Antaranya adalah kalender bulan, solar dan juga lunisolar. Ini adalah sistem perkiraan yang sangat terkenal dari zaman berzaman. Malah, di dalam Islam, bermula pada zaman Umar al Khattab telah menetapkan kalender Hijjriyah sebagai Kalender umat Islam dengan memakai perkiraan bulan. Malah bukan setakat Islam sahaja, di dalam kalender masyarakat Cina dan Jawa, mereka juga memakai kalender bulan. Timbul persoalan, adakah wajar disebabkan perkara itu kita mengatakan mereka menyembah dewa bulan? Sudah tentu tidak kerana ia hanyalah sekadar perkiraan hari, bulan dan tahun sahaja.
Dan sekiranya terdapat masyarakat yang menggunakan kelendar matahari seperti Iran, Baha’I, Koptik dan lain-lain, adakah boleh untuk kita membuat hipotesis bahawa mereka menyembah dewa matahari? Sudah tentu tidak.
Sekiranya dengan hal sebegitu boleh dihipotesis semudah itu harus mengapa tidak mengatakan golongan astronomis dan saintis itu penyembah dewa-dewi Rom? Ini kerana mereka menamakan planet dengan nama-nama dewa seperti Mars, Jupiter, Pluto, Neptune, dan Mercury. Adakah mereka juga Paganisme?
Ini menunjukkan kedua-dua hipotesis yang dikemukan oleh Robert Morey ini terbukti gagal dan tidak mendasar. Jika benar ingin membawa hujah berkaitan dengan kepercayaan dan aqidah sesebuah agama maka hendaklah datangkan teks di dalam kitab sucinya yang menganjurkan perkara itu. Bukan sekadar mencarik-carik info di dalam bahagian lain lalu cuba tampalkan di wajah sesebuah agama.
Seorang teologi di dalam Kristian bernama James White sendiri mengatakan dakwaan yang dikemukakan oleh Pastor Robert Morey itu tidak berasas: https://www.youtube.com/watch?v=mL2fucCySQY
Adapun sebahagian orientalis lain seperti Carleton S. Coon mendakwa nama kepada Allah itu berasal daripada kata nama Illah yang disandarkan kepada patung Hubal yang disembah oleh orang Arab. Akan tetapi dari segi bahasa nama ini jelas berbeza. Malah di dalam bahasa Arab perkataan Ilah boleh bermaksud sembahan dan tuhan-tuhan selain daripada Allah. Malah di dalam al Quran Allah menggunakan orang yang mempertuhankan hawa nafsu juga digunapakai perkataan Ilah:
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya” (Surah al Jasiyah: 23)
Ilah boleh bermaksud bermacam bagi sesuatu yang disembah. Manakala Allah adalah nama ekslusif yang mengisyaratkan kepada Tuhan Yang Maha Segala-Galanya. Malah sebelum kelahiran nabi Muhammad di Kota Mekah, orang Arab sudah menggunakan perkataan Allah bagi mengisyaratkan Tuhan Yang Maha Tinggi. Malah, Allah tidak pernah digambarkan dan dipatungkan, berbeza dengan dewa atau ‘Ilah’ di Mekah yang mana ia diukir dan diberhalakan.
Islam Bukan Agama Simbol
Jika dilihat Kristian memiliki simbol salib, Yahudi memiliki simbol bintang Daud, Hindu memiliki simbol OM, Buddha memiliki simbol Cakra lapan sila manakala Islam pula sering kali disimbolkan bulan dan bintang.
Pokok asalnya dalam Islam tidak memiliki simbol-simbol bagi melambangkan agamanya. Bermula pada zaman nabi, sahabat dan genersi seterusnya tidak pernah mengekslusifkan mana-mana simbol sebagai lambang agama. Manakala bulan dan bintang pula adalah simbol yang diperkenalkan oleh pemerintahan khilafah Islam Turki Uthamaniyah. Bendera Khilafah Turki dahulu memperkenalkan simbol bulan bintang sebagai identiti kerajaan Khilafah Islam dan setelah jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah maka negara-negara Islam lain masih mengekalkan simbol ini di bendera mereka. Umat Islam tidak ada masalah jika dibuang simbol bulan dan bintang kerana ia adalah simbol kerajaan yang menyatukan umat Islam pada suatu ketika dahulu dan bukan simbol agama. Simbol itu dibuat di atas beberapa falsafah yang berkaitan dengan kemuliaan mengikut tanda aras anak bulan ketika bulan ramadhan dan syawal.
Kesimpulan
Islam menolak segala unsur yang memperduakan Allah. Tuduhan yang mengatakan Allah yang merupakan Tuhan kita semua itu sebagai dewa bulan adalah tidak benar. Samada dari sudut sejarah dan juga etimologi kalimah jelas membuktikan ia berbeza. Dakwaan yang dilemparkan oleh Robert Morey itu jelas merupakan dakwaan yang tidak berasas. Sekiranya dia ingin membincangkan soal aqidah dan keimanan maka datangkanlah bukti di dalam bentuk pendalilan khususnya teks di dalam al Quran dan Hadis. Contoh, datangkan bukti ayat al Quran mengatakan “sembahlah dewa bulan” bagi membenarkan tuduhan itu. Akan tetapi al Quran dan hadis tidak menyebut mengenainya. Tuduhan yang dilemparkan oleh golongan orientalis hanyalah hipotesis yang lemah semata-mata.
Wallahua’lam
Rujukan
[1] Carleton S. Coon, (1944). jurnal Southern Arabia, A Problem For The Future, Smithsonian Institution, Itali.
[2] Dr. Robert A. Morey, (2011). The Islamic Invasion, Xulon Press, USA.
[3] Sami Abdullah al Maghlouth, (2011). Atlas Agama-Agama, Penerbit Alhamira, Jakarta, Indonesia.
[4] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017). Yahudi Kristian Hindu Buddha Berasal Daripada Islam?, PTS, Selangor, Malaysia.
[5] Dr. Ahmad Syalabi, (2010). Ensiklopedia Sejarah Islam, Jasmin, Selangor, Malaysia.
[6] Prof. Dr. HAMKA, (2006). Sejarah Umat Islam, Pustaka Nasional, Singapura.
[7] Imam Asy Syaukani, (2011). Tafsir Fathul Qadir, Pustaka Azzam, Jakarta, Indonesia, Jilid 9.
[8] Syeikh Muhammad al Ghazali, (2010). Fiqh Sirah, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, Malaysia, Jilid 1.
[9] Muhammad Sa’id Ramadan al Buti, (2008). Fiqh al Sirah, Dewan Pustaka Fajar, Selangor, Malaysia.
R&D TEAM MRM
hubal 在 Firdaus Wong Wai Hung Facebook 八卦
[Padang Ragutnya Subur Tetapi Malang, Kambing Pula Sakit]
Daripada Tulisan Dr ‘Aidh Qarni tentang sikap kasar kita sebahagian orang Islam, orang Arab dan lain-lain berbanding dengan sebahagian orang barat.
(المرعى أخضر ولكن العنز مريضة) بقلم د. عائض القرني
Aku menulis risalah ini dari bumi Paris ketika berkunjung ke sana untuk rawatan lutut.
Aku sebenarnya takut akan tohmahan yang mengatakan aku cenderung kepada Barat, sedangkan aku menulis tentang mereka dengan penuh kebenaran dan keinsafan berdasarkan penelitian dan pemerhatianku.
Demi Allah! Sesungguhnya debu-debu pada kasut Nabi Muhammad bin Abdullah sollallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih ku cintai dari seluruh bumi Amerika dan Eropah dihimpunkan bersama.
Tetapi, mengakui dan mengiktiraf kebaikan orang lain bukanlah suatu yang tercela bahkan ianya merupakan manhaj al-Quran.
Firman Allah Ta'ala:
ليسوا سواء من أهل الكتاب أمة قائمة
Maksudnya: "Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar)..." [Ali Imraan: 113].
Ketika aku berada di Paris, selain merujuk kes kesihatanku dengan para doktor, aku sempat melawat beberapa buah perpustakaan serta melihat dan memerhati gelagat masyarakat di sana. Aku perhatikan pergaulan dan hubungan sesama mereka. Sepanjang itu, aku mendapati wujudnya nilai kesenian sebuah tamadun, tabiat yang indah, jiwa yang lembut, kemesraan sebuah pertemuan, adab yang baik dengan yang lain, tona suara yang tenang, hidup yang kemas tersusun, janji yang ditepati dan ketertiban dalam urusan hidup seharian!
Lantas terlintas persoalan di benakku...
Bagaimana pula halnya dengan kita semua warga Arab?
Ibn Khaldun rahimahullah telah mendahuluiku dengan menyifatkan kita (bangsa Arab) dengan sikap perengus dan kasar.
Walaupun begitu, aku masih berbangga menjadi seorang Arab dek kerana Al-Quran itu berbahasa Arab dan Nabi Muhammad s.a.w juga seorang Arab.
Jika tidak kerana Wahyu itu yang telah mendidik dan mengasuh para pengikutnya, nescaya kita semua masih berada di takuk lama tatkala manusia menyembah berhala Hubal, Lata, Uzza dan Manat yang ketiga dan sekeliannya!
Namun, kita masih lagi punya jiwa yang kering, hambar dan keras mengikut kadar jauhnya kita dari mengamalkan Syariat yang suci.
Kita adalah masyarakat yang pemarah, bengis dan perongos...kecuali mereka yang dirahmati Allah (maka mereka bebas dari sikap itu).
Lihat sahaja sebahagian para masyaikh (guru) dan penuntut ilmu termasuk diriku. Kita kekeringan akhlak yang sempurna, punya nilai diri yang rendah. Terlalu kusam akhlaknya sehinggakan jika ditanya tentang sesuatu kepada sebahagian mereka menyambut persoalan itu dengan masam muka, berpaling dengan tiada menunjukkan minat dan penuh dengan sikap tidak endah.
Para petugas keamanan dari kalangan tentera misalnya. Mereka bersikap sangat kasar dan bengis ketika bertugas. Dengan pakaian seragam mereka itu, menaikkan lagi keangkuhan dan keegoan di khalayak awam.
Dari kalangan para suami pula, berlagak dan berani tidak bertempat. Bengis dan tegas, menakutkan dan menggerunkan bak singa tatkala berhadapan dengan para isteri. Tetapi bila di luar sana sangat lemah lembut, sopan dan mesra alam pula sifatnya!
Tidak ketinggalan juga para isteri. Sebahagiannya umpama kala jengking yang menyengat dan ular yang berbisa!
Begitu juga di kalangan para penjawat awam yang memikul amanah rakyat. Perwatakan mereka persis Namrud bin Kan'aan. Penuh takabbur dan sombong. Bila menyapa seringkali mereka berasa hebat. Tatkala duduk di khalayak ramai mereka seolah-olah bertambah mulia dan gah dengan jawatan yang dipegangnya.
Pegawai-pegawai polis seringkali berbicara dengan bahasa yang kesat, pedih dan menyakitkan.
Para ustaz dan guru sangat tawar dan hambar dengan para pelajar....
Sesungguhnya semua ini menyebabkan kita sangat perlu kepada perubahan. Kita berhajat kepada sebuah sekolah khusus (Maahad Tadrib Latihan) mendidik manusia tentang akhlak mulia.
Kita sangat berhajat kepada institusi yang mampu melahirkan para penjawat awam yang punya perwatakan penuh rahmat, kasih sayang, sopan santun dan tawadhuk.
Kita berhajat kepada sebuah markaz melatih para tentera bersopan dengan masyarakat awam.
Kita perlukan kolej khas dan bengkel yang mampu mengajar para suami dan isteri seni kehidupan berumahtangga.
Umat hari ini ternyata perlu kembali kepada perlaksanaan Syariat yang tuntas dan tepat agar dapat kita keluar dari belenggu kehambaran dan kekerasan jiwa yang jelas terlihat kusamnya di wajah dan pergaulan kita.
Di Negara-negara Arab seringkali kamu akan bertemu dengan masyarakatnya yang berwajah seolah-olah penuh debu dilitupi warna hitam dan gelap gelita kesan dari tekanan, sikap takabbur, bongkak, dongkol, bebal dan keluh kesah.
Kita sebenarnya telah menyempitkan diri kita sendiri, manusia dan kehidupan seluruhnya!
Kerana itu kita akan mendapati sikap pengguna jalanraya yang melanggar peraturan lalulintas, menjadi sebab kesesakan dan seringkali bertikam lidah, berbalah dan berkelahi sesama sendiri.
Keadaan dan tabiat ini telah dipersetujui akan sebabnya oleh teman-teman para pendakwah tatkala soalanku kepada mereka:
"Apakah puncanya semua ini?" Lalu jawab mereka :
الحضارة ترقق الطباع!
"Ketamadunan yang telah melembutkan tabiat kemanusiaan."
Berbeza halnya di sini (Perancis). Jika kita bertanyakan arah jalan kepada seorang warga Perancis, dia akan segera keluar dari kenderaannya dengan membawa sebuah peta menuju ke kereta kita. Setelah itu dia akan menerangkan semuanya dengan jelas sedang kita masih berada di kerusi pemandu di dalam kereta kita.
Tatkala kita berjalan di sebuah laluan, lalu hujan mulai turun. Anda akan mendapati seseorang akan membuka payung untuk melindungi kita dari terkena hujan.
Begitu juga misalnya ketika sedang berebut atau bersesak di hadapan pintu masuk hotel mahupun hospital, pasti akan ada insan yang memberi laluan diiringi kata-kata yang penuh sopan dan menyenangkan.
(Di Paris) Ku lihat banyak hadis-hadis Nabi s.a.w diamalkan dan direalisasikan. Erti dan kehormatan yang berbalas, bahasa yang sopan dan gaya hidup bertamaddun khasnya dalam aspek pergaulan dan perhubungan sesama manusia.
Sedangkan jika ingin dibandingkan dengan warga tanah Arab, ternyata berbeza. Jika sedang marah, pasti akan diselangi dengan kata-kata laknat, caci-maki, cercaan dan hinaan. Ke mana hilangnya manhaj Al-Quran yang mengajar kita dengan ayat- ayat seperti:
«وقل لعبادي يقولوا التي هي أحسن » ،
Maksudnya: {Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik...}. [Al-Israa': 53].
« وإذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما » ،
Maksudnya: {Apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.} [Al-Furqan: 63]
« فاصفح الصفح الجميل »
Maksudnya: {...serta layanlah mereka dengan cara yang elok.} [Al-Hijr: 85]
« ولا تصعّر خدّك للناس ولا تمش في الأرض مرحاً إن الله لا يحب كل مختال فخور، واقصد في مشيك واغضض من صوتك إن أنكر الأصوات لصوت الحمير»
Maksudnya: {Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai}. [Luqman: 18 -19].
Begitu juga sebagaimana di dalam Hadith:
وفي الحديث: « الراحمون يرحمهم الرحمن »
"Orang-orang yang mempunyai rahmat (kasih sayang) akan dirahmati dan disayangi Ar-Rahman." [HR: Abu Daud]
و « المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده »
"Seorang muslim itu adalah orang yang selamat orang Islam yang lain dari bahana lidah dan tangannya." [Muttafaq Alaih].
و « لا تباغضوا ولا تقاطعوا ولا تحاسدوا»
"Janganlah kamu bermusuh, janganlah berhasad dengki, jangan menjadi batu api, jangan memutuskan silaturrahim. Jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara." [Muttafaq Alaih].
Kita punya Syariat yang bersifat Rabbani lagi penuh keberkatan namun sangat lemah perlaksanannya.
Telah berkata seorang cendiakawan India :
المرعى أخضر ولكن العنز مريضة
"Padang ragut subur tetapi malang kambingnya pula sakit."
Akhirnya aku bermohon agar sesiapa sahaja yang membaca risalahku ini perlu berusaha sedikit demi sedikit membuat perubahan sikap dan paradigma. Ubahlah sikap sesama masyarakat sekeliling, keluarga, manusia seluruhnya samada Islam atau lainnya.
Wajib atas kita memperbaiki hubungan dan meningkatkan kualiti pergaulan dengan manusia...kerana kitalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia...
Alihbahasa: Abu Fatih Al-Mubaraki.
Dibaca oleh: Abu Anas Madani.
Pondok Sungai Durian.
Tarikh: 3 Muharram 1435H – 7/11/2013.
hubal 在 Primorye Vladivostok vs UKS Hubal Bialystok (Match 5, Group ... 的八卦
... <看更多>